
Pada November tahun lepas, saya berpeluang ke Adelaide atas urusan kerja. Kebetulan waktu itu Adelaide adalah musim panas, cuaca amat baik dan kesempatan tersebut saya ambil untuk berjalan-jalan di sekeliling bandar Adelaide sehari sebelum saya pulang ke Malaysia.
Antara yang menarik perhatian saya ketika berada di sana adalah kesedaran masyarakat tentang keperluan menjaga alam sekitar dan memaksimumkan kelebihan yang diperolehi daripada alam semulajadi.
Di kala saya tercari-cari arah laluan bas dan tram yang terpampang pada peta laluan, mata saya terpandang pada sebuah bas berwarna hijau yang berhenti di hentian. Bas hijau yang dinamakan ‘Tindo’ itu nampak moden dan sesuai dengan warnanya kerana ia menggunakan tenaga solar untuk menggerakkannya. Lebih menarik, bas tersebut menawarkan perkhidmatan secara percuma dan di lengkapi dengan penghawa dingin seperti mana bas-bas moden lain yang menggunakan petrol. Ia boleh memuatkan 24 orang penumpang dalam satu masa dan digerakkan dengan kuasa dari 11 bateri zebra sodium-nickel yang boleh bergerak sehingga 124 batu apabila dicaj penuh.
Walaubagaimanapun, oleh kerana saiznya yang ‘montel’ dan ‘gedabak’, bas ini perlu dicaj kembali apabila sampai di stesen kerana tenaga yang dibekalkan oleh panel solar adalah tidak mencukupi.
Inisiatif Adelaide Town Hall patut dipuji dan dicontohi dalam memelihara alam sekitar. Yang pasti, bas ini tidak menghadiahkan saya kepulan asap hitam sepertimana bas-bas yang masih memenuhi Bandaraya KL!